Idea dan masa
Bismillahirrahmanirrahim..
Idea memang memerlukan masa.
Allah kurniakan masa buat manusia untuk memimpin.
Memimpin bumi yang Allah amanahkan.
Terlalu banyak rahsia Allah atau lebih mudah, ilmu Allah yang tersangat luas untuk pemikiran manusia yang dengkel lagi kecil.
Kadang kita sebagai manusia terlalu bermegah untuk sesuatu yang menjadi kebanggaan, tapi kita terlupa kejadian kita sama macam haiwan juga, cuma kerana kita manusia.
Ya, kerana kita manusia.
Manusia berbeza dengan haiwan kerana Allah memberikan pelbagai keistimewaan sesuai dengan peranannya sebagai pemimpin di muka bumi yang bersifat fana ini.
Manusia diberikan keistimewaan oleh Allah dalam banyak aspek termasuklah penurunan wahyuNya kepada para nabi dan rasulNya agar kehidupan manusia sentiasa bertamadun dan bersesuaian dengan fitrah yang Allah tanamkan untuk manusia iaitu lebih baik dari haiwan.
Maka, idea yang terhasil daripada pemikiran itu lah satu-satunya menjadikan manusia lebih baik daripada haiwan dalam memimpin bumi.
Kehidupan manusia di bumi juga bukanlah semata-mata tempat untuk menjaga amanah Allah dan memimpin bumi Allah ini, tetapi jua turut sebagai tempat pengujian iman dan hati seorang manusia.
Manusia hanyalah merupakan hamba Allah, yakni Allah adalah tuhan yang satu yang menciptakan bumi mahupun alam semesta, syurga neraka, alam akhirat,dan juga turut mencipta semua makhluk yang ada seperti haiwan, jin dan juga malaikat.
Di bumi, kehidupan dikenali sebagai dunia. Manakala, akhirat pula ialah kehidupan setelah manusia meninggalkan dunia ini melalui kematian.
Di kehidupan dunia ini, manusia bukan sahaja diberi tanggungjawab, tetapi manusia juga diberi nikmat dari sekecil nikmat hinggalah sebesar-besar nikmat untuk meneruskan kehidupan.
Di kehidupan dunia juga, manusia jua akan diuji oleh Allah akan hatinya melalui hawa nafsu yang dikurniakan Allah untuk menjadikan hidup manusia menjadi gembira, sedih, dan pelbagai emosi yang unik lagi halusi yang mencetus kepada makna sebuah kehidupan dalam hidup seorang manusia.
Bahkan, manusia juga diuji dengan bisikan dan juga hasutan oleh makhluk dari kalangan golongan jin. Yakni, makhluk yang Allah makbulkan permintaan pemimpinnya yakni iblis agar dijadikan sebahagian daripada makhluk yang tidak dapat dilihat oleh penglihatan manusia sehingga ke hari kiamat.
Iblis merupakan makhluk Allah dari kalangan golongan jin. Jin merupakan makhluk yang turut sama menghuni di bumi Allah ini. Namun Allah memberikan jawatan khalifah di muka bumi kepada manusia, menunjukkan kelebihan yang ada pada manusia berbanding jin. Kelebihan yang diberikan kepada manusia oleh Allah s.w.t melalui penciptaan manusia pertama yakni Adam, yang turut merupakan nabi yang pertama bagi generasi manusia yang terawal telah menyebabkan iblis berasa tercabar dengan kelebihannya yang ciptakan daripada api, sedang manusia ialah tanah.
Hatta, iblis merupakan makhluk Allah yang paling rajin beribadat kepada Allah pada ketika itu, namun dek kerana riya' yakni rasa kebagusan diri yang ada padanya menjadikan iblis makhluk yang mendurhakai Tuhannya.
Penderhakaan iblis kepada Allah ialah turut berjanji untuk menyesatkan anak cucu Adam yakni manusia untuk turut sama dengannya menghuni dan diseksa di dalam neraka di akhirat kelak kerana dendamnya terhadap penciptaan nabi Adam a.s.
Antara kejayaan pertama iblis dalam mencapai misinya untuk menjadikan manusia sebagai hamba Allah yang ingkar, ialah mengeluarkan nabi Adam dan Hawa daripada syurga, melalui teknik hasutan mendekati pohon yang dilarang Allah untuk disentuh, didekati dan dimakan.
Kehidupan manusia di dunia merupakan cabaran namun tetap dikurniakan nikmat dan ganjaran berbentuk pahala yang perlu dijadikan sebagai bekalan atau imbuhan bagi kehidupan di akhirat.
Sebagai tanda kasih Allah s.w.t. kepada makhlukNya, Allah mengurniakan rahmatNya melalui nikmat dan ganjaran berbentuk pahala sebagai imbuhan untuk ke syurga, dan dosa bagi kelakuan yang di larang oleh Allah sebagai tiket untuk ke neraka.
Antara nikmat yang terbesar bagi seorang hamba kepada tuhannya ialah nikmat iman. Iman yang menjadikan manusia itu berkualiti ataupun sebaliknya. Iman diperoleh melalui pengamalan terhadap apa yang diperintah Allah untuk dilaksanakan dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.
Dengan iman, manusia mengenali cinta dengan hati. Hati ialah tempat yang terdapat di dalam diri manusia untuk merasai sesuatu tanpa melihat dengan mata kasar tetapi melalui rasa dan emosi. Dan cinta merupakan keperluan kepada kejadian manusia untuk memimpin dan mengembangkan zuriat keturunan manusia.
Manusia dapat memimpin dengan adanya hati, hati yang berpandukan iman atau nafsu. Kelebihan iman juga dapat mengatasi akal, yakni satu lagi kelebihan yang Allah berikan kepada manusia. Akal ialah kecerdikan yang Allah berikan kepada manusia sesuai dengan peranannya sebagai pemimpin di muka bumi Allah. Dengan akal manusia menjadi bijak berbanding haiwan, namun sekiranya manusia memandu akalnya menggunakan hati yang mengikuti nafsu tetapi bukan iman, hasilnya manusia menjadi lebih teruk berbanding haiwan itu sendiri.
Hati yang dipandu melalui iman menghasilkan akal yang lebih menyeluruh dalam pemikiran atau idea-idea yang menyumbang kepada ketamadunan manusia. Hasil menyeluruh itu merangkumi keperluan untuk manusia dari segi luaran tubuhnya dan dalaman tubuhnya yang diperlukan untuk memimpin muka bumi Allah. Luaran dan dalaman tubuh manusia sangat penting bagi proses ketamadunan manusia dalam membangunkan dan menjaga amanah Allah di muka bumi.
Apabila hati bersepadu dengan iman, akal manusia menjadi lebih seimbang dalam menghasilkan keputusan dan juga idea yang memberikan kesan warna-warna kehidupan bagi manusia segajat dan penjagaan bumi khususnya.
Dan Allah memberikan tempoh waktu dan masa buat manusia untuk melatih hati memiliki iman. Waktu dan masa yang Allah berikan itu memiliki keterbatasannya yang tersendiri bagi seorang manusia dengan adanya kematian. Kematian manusia adalah pemutus kepada penghasilan idea dalam memberi imbuhan sama ada pahala atau dosa yang merupakan bekalan untuk kehidupan di akhirat pula.
Di akhirat, manusia tidak lagi mengalami kematian, maka kehidupan manusia yang sebenarnya adalah diakhirat. Bukan di bumi. Antara kebaikan iman kepada hati ialah mengingati manusia menjaga keterbatasan di dunia bagi kehidupan akhirat yang lebih baik.
Di akhirat, manusia tidak lagi mengalami kematian, maka kehidupan manusia yang sebenarnya adalah diakhirat. Bukan di bumi. Antara kebaikan iman kepada hati ialah mengingati manusia menjaga keterbatasan di dunia bagi kehidupan akhirat yang lebih baik.
Hasil cerahan pemikiran Islam.
Oleh Ummi Adibah, 20 April 2015/ 1 Rejab 1436. 4.43 p.m.
Rujukan melalui buku-buku Islamik tempatan.
Rujukan akan dinyatakan secepat yang mungkin.

Comments
Post a Comment